Memaparkan catatan dengan label Tucunare. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tucunare. Papar semua catatan

Jumaat, 20 November 2015

Asakan Peacok Bass di Clear Water Sanctuary, Batu Gajah, Perak


Pagi yang indah di Clearwater Sanctuary Golf Resort
Clearwater Sanctuary Golf Resort yang terletak di Lot 6019, Jalan Changkat Larang, Batu Gajah, Perak ialah sebuah tempat peranginan menarik untuk dikunjungi bersama keluarga dan rakan taulan. Permandangan indah dikelilingi oleh suasana hijau dan kawasan tasik seluas 350 ekar yang mendamaikan sudah pastinya memberi ketenangan  buat mereka yang ingin beristirehat dan melapangkan minda yang selama ini sibuk memikirkan perihal kerja.

Add caption
Salah satu aktiviti yang menarik di tawarkan oleh Pihak Resort ialah aktiviti memancing. Kawasan tasik yang luas dengan kepelbagaian tumbuhan akuatik tumbuh subur di sini telah membuatkan ianya sesuai menjadi habitat kepada pelbagai spesis ikan air tawar samaada ianya adalah ikan asal ataupun spesis ikan yang telah dimasukkan oleh Pihak Resort dengan tujuan untuk memberikan kelainan buat pemancing. Spesis air tawar yang mendiami habitat di sini terdiri daripada Temoleh, Rohu, Patin, Tilapia, Toman Harimau, Haruan, Kaloi, Peacock Bass, Kap, Udang Galah dan sebagainya.

Pada hujung minggu yang lalu Team MTS telah berkunjung ke Clearwater Sanctuary Golf Resort dengan tujuan utama untuk memburu spesis ikan air tawar yang sudah tidak asing lagi pada pengemar sukan memancing air tawar di Malaysia  kerana kelasakan apabila bertarung. 

Salah satu tempat persembunyian PB
Peacock Bass atau nama saintifiknya Cichla Ocellaris adalah spesis ikan air tawar yang bukan berasal dari Malaysia. Apa yang di ketahui melalui sumber-sumber yang ada bahawa spesis air tawar ini berasal dari keluarga Cichlidae yang terdapat di Florida, Amerika Syarikat serta Lembangan Amazon dan Onnoco di Amerika Selatan. Pengemar sukan memancing air tawar di Amerika Syarikat telah meletakkan spesis ini di dalam kategori "Game Fish" kerana sifat ganas yang ada padanya serta mampu untuk merosakkan perambut, tali utama, mata kail, kekili dan rod apabila pertembungan berlaku di antara pemancing dengan ikan yang bersaiz besar. Kehebatan spesis ini didalam pertarungan telah diceritakan oleh ramai pemancing dari sana membuatkan banyak pengusaha-pengusaha eko perlancongan manganjurkan trip memancing ke Florida, Amerika Syarikat atau Lembangan Amazon untuk memburu spesis air tawar yang unik dan semakin popular di kalangan pengemar sukan memancing air tawar.

Peacock Bass
Justeru itu populariti spesis ini sebagai spesis buruan telah mula menular ke negara-negara Asia Tenggara khususnya Malaysia dan ianya telah di bawa masuk oleh individu atau pengusaha ikan hiasan dan seterusnya dilepaskan kolam-kolam buatan atau habitat semulajadi yang terdapat di sini.


Salah seekor Peacock Bass yang berjaya
didaratkan


Peacock Bass juga di kenali global dengan nama Butterfly Peacock Bass, Eyespot Cichlid, Lukani, Pavon dan Tucunare manakala panggilan Ikan Raja adalah nama yang diberi oleh pemancing di Malaysia. Rupa bentuk spesis air tawar ini boleh dilihat dari gambar-gambar yang dipaparkan pada laman blog ini. Secara khususnya Peacock Bass adalah jenis pemangsa dan didapati amat sesuai mendiami kawasan tasik dan lombong yang terdapat  di Malaysia. Ianya boleh membesar sehingga ke saiz 100cm panjang dan menjadikan anak-anak ikan, udang, berudu dan anaknya sendiri sebagai makanan utama. Memburu spesis ini sudah pasti memerlukan teknik yang tertentu.  Teknik pancing layang dan juga mengilat adalah teknik-teknik yang biasa di gunakan oleh kebanyakan pengemar sukan memancing air tawar bagi memburu Peacock Bass.

Arip berjaya mendaratkan PB bersaiz 45 cm
Kami telah memulakan perjalanan dari Rawang, Selangor melalui Lebuh Raya PLUS seawal jam 4.30 pagi dengan tujuan untuk sampai ke lokasi pada sekitar jam 7.30 pagi. Perjalanan lancar pada waktu itu dan kami hanya berhenti sebentar di kawasan rehat dan rawat sekitar jam 6.00 pagi untuk bersarapan dan menyelesaikan urusan masing-masing lalu meneruskan kembali perjalanan sehingga ke susur keluar Simpang Pulai, Perak seterusnya menuju ke arah Batu Gajah. Kami  selamat sampai ke destinasi pada sekitar jam 7.15 pagi dan kereta di letakkan bersebelahan dengan Anglers Club House untuk memudahkan urusan memunggah peralatan yang telah di bawa bersama. Jepp di tugaskan untuk menguruskan bayaran sewa memancing dan juga bot di kaunter tetamu manakala Aku dan Arip menguruskan peralatan dan memasang enjin bot berkuasa 1.5 kuda yang telah di bawa  pada bot yang tersedia di situ. Sememangnya pihak resort ada menyediakan perkhidmatan sewaan bot dan kanu untuk kegunaan pemancing-pemancing yang ingin memancing di kawasan tasik. Pada hari ini Kami telah menyewa bot dari model Bujuk 15 buatan Etamax yang telah terbukti akan kualiti dan kestabilan yang ada padanya.

Jepp dengan Juvana pertama yang
berjaya di daratkan
Aktiviti pemburuan di mulakan pada jam 8.30 pagi setelah semua urusan dapat di selesaikan. Lubuk tumpuan pertama yang di kunjungi ialah sekitar hadapan kawasan jeti dengan harapan munculnya spesis yang di buru bermain pada permukaan air. Jepp memulakan lontaran ke arah lubuk dengan menggunakan clouser minnow yang biasa di gunakan dalam teknik pancing layang dan begitu juga Arip manakala saya menggunakan popper dengan tujuan untuk menarik perhatian spesis ini keluar dari lubuk persembunyian. Kami mendapati cara ini berkesan kerana dalam beberapa minit Jepp berjaya memperolehi strike yang pertama bersaiz juvana dan tidak lama selepas itu Saya dan Arip juga memperoleh strike dari saiz yang sama. Pemburuan kami di teruskan sehingga ke waktu petang  dengan tujuan utama untuk mendaratkan Peacock Bass bersaiz 55 cm panjang. Apa yang telah diketahui rekod PB terbesar yang pernah didaratkan oleh pemancing di sini bersaiz 2 kg.  Namun begitu misi kami pada kali ini kurang berjaya kerana hanya Arip yang berjaya mendaratkan Peacock Bass bersaiz 45 cm pada sebelah tengahari. Kebanyakan Peacock Bass yang berjaya didaratkan pada hari ini bersaiz sekitar 15cm ke 35 cm dan dari pemerhatian yang dilakukan kami mendapati kebanyakan Peacock Bass bersaiz 30 cm ke atas lebih gemar menyambar umpan menjelang waktu tengahari sehingga ke sekitar jam 4 petang dan keadaan cuaca pada ketika itu panas serta pancaran matahari sudah mula terik.

Hati  rasa puas dengan pertarungan bersama
PB yang bersaiz sebegini

Kami telah menamatkan aktiviti memancing di Clearwater Sanctuary Golf Resort pada sekitar jam 4.30 petang setelah puas melayan subjek buruan. Perjalanan pulang pada kali ini di hiburkan dengan ulasan-ulasan perbualan kami bertiga mengenai pengalaman masing-masing semasa bertarung dengan salah satu spesis yang popular di dalam sukan memancing air tawar.
Sesungguhnya usaha pihak Clearwater Sanctuary Golf Resort dalam memberi kelainan kepada pengemar sukan memancing   di Malaysia amatlah di hargai. Justeru itu di harap ianya akan menjadi ikutan buat pengusaha-pengusaha kolam yang ada demi untuk memertabatkan lagi sukan memancing di Malaysia dan secara tidak langsung dapat memajukan lagi sektor eko perlancongan pada masa hadapan.



Set yang telah di gunakan oleh Jepp

INFORMASI TAMBAHAN

Informasi Bot dan Kanu yang boleh di sewa melalui pemerhatian yang telah dilakukan :-
  • Sebuah bot Aluminium (Etamax Bujuk 15) sesuai untuk 3 orang pemancing dan berada di dalam keadaan baik. Kadar sewaan RM50.00 dari pagi sehingga ke petang.
  • Dua buah Kanu (1 Kanu = 2 Pemancing). Kadar sewaan RM50.00 dari pagi sehingga ke petang.
Kadar bayaran untuk memancing yang di tawarkan oleh pihak Resort adalah sebanyak RM30.00 untuk satu joran. 

Para pemancing boleh membuat pembayaran untuk memancing dan sewa bot di kaunter tetamu yang berdekatan dengan Anglers Club House. 

Para pemancing boleh menggunakan kemudahan seperti tandas, bilik mandi dan ruangan istirehat yang telah sedia ada diAnglers Club House.

Clearwater Sanctuary Golf Resort
Alamat : Lot 6019, Jalan Changkat Larang, Batu Gajah, 31000, Batu Gajah, Perak, 31000, Malaysia
Tel:+60 3-7956 1453
http://www.cwsgolf.com.my/contact.html

Pautan Luar informasi mengenai spesis :-
http://nas.er.usgs.gov/queries/factsheet.aspx?SpeciesID=437

GALERI MTS

Masta Arippo



Kawasan Toman bermain






Bujuk 15 yang telah digunakan

Permandangan tasik dari Anglers Club House




Sekian terima kasih dan Majulah sukan memancing Malaysia.



Redza Ali
#tinyfishblogger
gerapoh@yahoo.com.my
0172789574

#peacockbass
#butterflypeacockbass
#freshwatergamefish
#clearwatersanctuarygolfresort
#malayatackleshop