Set Rod kustom hasil tangan seorang kenalan rapat sedang membangau seketika
Buat pertama kalinya disini, Team MTS ingin berkongsi pengalaman dan informasi mengenai salah satu tempat rekreasi sukan memancing berbayar yang terdapat di Lembah Klang.
Lokasi pilihan pada kali ini bertempat di Kawasan Rekreasi Memancing Empangan Air Kuning, Taman Pertanian Malaysia, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Empangan Air Kuning menawarkan konsep tangkap dan lepas serta agak popular buat pengemar teknik mengilat, pancing layang serta dasar yang datangnya dari sekitar Lembah Klang. Pemancing boleh merasai sendiri pertarungan dengan spesis seperti Pacu, Amazon Red Tail Catfish, Sebarau, Jelawat, Rohu serta Toman mega yang mendiami lubuk-lubuk di sekitarnya. Cadangan atau idea untuk menguji peralatan serta bertarung dengan spesis Pacu ataupun nama lainnya Tambaqui telah datang dari Saudara Jepp Watanabe (bukan nama sebenar). Beliau merupakan salah seorang kenalan rapat yang telah lama bergiat aktif dilapangan sukan memancing air tawar serta berpengalaman tentang lubuk serta teknik untuk memancing Pacu yang mendiami Empangan Air Kuning.
Apa yang menarik mengenai Pacu yang terdapat di sini ialah kekuatan dan larian luar biasanya apabila bertarung. Ini berdasarkan daripada sumber yang telah diperolehi melalui cerita rakan-rakan pemancing dan juga melalui pengalaman kami yang sudah biasa memancing di sini. Selain itu faktor persekitaran hutan semulajadi yang meliputi kawasan mini empangan dengan air bukit yang jernih serta bersih mengalir masuk ke dalamnya membuatkan ikan-ikan yang menjadi penghuni disini berada dalam keadaan yang amat sihat dan cergas. Kawasan lubuknya pula agak dalam dan mencabar pada sesetengah tempat serta terdapat tunggul kayu pada dasarnya. Kawasan reba tersebut sering menjadi tempat persembunyian serta tumpuan Pacu dan spesis lain membuat pecutan ke arahnya bagi meloloskan diri apabila terkena mata kail pemancing. Kejadian seperti tali perambut rabut, putus, tali utama meletup serta mata kail terkangkang adalah lumrah biasa buat pemancing apabila bertarung dengan Pacu di Empangan Air Kuning.
Aktiviti kami telah dimulakan pada hari sabtu iaitu seawal pukul 6.30 pagi. Selepas selesai bersarapan dan membeli sedikit bekalan untuk mengalas perut, kami terus memulakan perjalanan dari Ampang ke Shah Alam dan sampai betul-betul di hadapan pintu masuk Taman Pertanian lebih kurang pada pukul 7.15 pagi. Kami terpaksa memberhentikan kenderaan di hadapan pintu tersebut kerana pendaftaran kebenaran masuk kenderaan ke kawasan Taman harus dipohon terlebih dahulu daripada Pegawai Jabatan Perhilitan yang bertugas. Setelah permit masuk kenderaan diluluskan kami terus bergerak membawa masuk kenderaan ke dalam kawasan rekreasi dan seterusnya menuju ke Empangan Air Kuning. Perjalanan ke kawasan empangan dari pintu masuk taman dikelilingi oleh persekitaran landskap semulajadi yang amat mendamaikan. Suasana pagi terasa dingin serta sedikit berkabus membuatkan kami boleh merasai kesegaran udara pagi. Pada ketika ini kelihatan segelintir warga kota sedang melakukan aktiviti riadah sama ada berjogging, berbasikal mahupun berjalan kaki menggunakan kemudahan jalan-jalan susur yang telah tersedia.
Perjalanan untuk ke Empangan Air Kuning dari pintu masuk mengambil masa lebih kurang tiga minit dan kali ini kami sampai tepat pada masanya kerana bot jenama Pelican berwarna hijau masih lagi belum disewa oleh pemancing. Kelihatan En.Harun (bukan nama sebenar) yang bertugas sebagai penjaga kaunter tersenyum menyapa kami dengan mesra sambil menghulurkan tangan bersalaman. Setelah semua urusan selesai dan bayaran sewa telah dilunaskan. En.Harun mula bergegas menuju ke gigi air untuk mempersiapkan bot Pelican hijau yang akan digunakan oleh kami sebentar nanti. Kamimenjejakkan kaki ke dalam bot tepat pada pukul 8.30 pagi. Pada waktu itu suasana di Empangan amat tenang dan mendamaikan buat kami yang telah biasa dengan suasana hutan batu metropolitan. Kicauan unggas dan burung bersahut-sahutan memecah keheningan pagi sambil sekali-sekala ketenangan empangan diganggu oleh kibasan ekor Jelawat dan Rohu bermain dipermukaan air.
Piala kemenangan iaitu Tambaqui seberat 5.8kg
Bertarung dengan spesis Pacu di Empangan Air Kuning memerlukan teknik yang tertentu serta pengalaman yang harus dipelajari bersama dengan pemancing-pemancing yang sudah biasa mengenai lubuk serta sifat-sifat semulajadi spesis yang hendak diburu. Kemahiran untuk mengawal dan mengekang larian ikan yang menuju ke kawasan reba serta penguasaan kawalan drag yang bagus membolehkan peratusan untuk mendaratkannya adalah tinggi lebih-lebih lagi apabila memancing dengan menggunakan kanu, kayak atau bot. Bagi kami pengunaan teknik umpan terapung merupakan teknik yang amat sesuai digunakan jika ingin memburu Pacu di Empangan Air Kuning. Tali perambut fluorocarbon dengan kekuatan 30lb menjadi pilihan walaupun peratusan untuk putus digigit adalah tinggi akan tetapi kebiasaannya ia menjamin peratusan "strike" yang lebih dari Pacu yang bersaiz kasar. Jenis umpan pula haruslah terapung diatas permukaan air kerana biasanya Pacu di sini lebih gemar menyambar makanan di atas berbanding di bawah. Kami mendapati bahawa ikan-ikan yang menghuni Empangan Air Kuning agak cerdik atau dengan erti kata lain culas lebih-lebih lagi yang bersaiz 4 kilo keatas. Kebanyakan ikan yang telah lama menghuni disini dapat menyesuaikan diri serta boleh membezakan yang mana sebenarnya makanan dan yang mana umpan. Selain itu konsep tangkap dan lepas yang telah dipraktikkan juga mempengaruhi tabiat ikan serta merupakan salah satu faktor penyebab ikan-ikan yang pernah terkena mata kail agak berhati-hati apabila ingin menyambar umpan ataupun gewang. Oleh itu sememangnya kejadian Kumpau, Bangau, Mangkau atau dengan ayat mudah "tak dapat ikan" sudah menjadi lumrah biasa buat pemancing yang baru ingin berjinak-jinak memancing di Empangan Air Kuning termasuklah kami pada suatu masa dahulu.
Penantian suatu penyeksaan
Jam menunjukkan sekitar pukul 8.45 pagi. Pancaran sinaran matahari telah mula menyimbahkan cahaya ke kawasan Empangan. Keadaan air kelihatan agak jernih sehingga menampakkan dasar pada sesetengah tempat yang cetek. Tanpa membuang masa kami mula melontar umpan ke arah lubuk yang berdekatan dengan reba. Sebelum itu beberapa keping roti dan palet makanan ikan bersaiz kasar telah kami lontarkan terlebih dahulu ke kawasan tersebut bertujuan sebagai rasuah atau pelaris agar Sang Pacu keluar dari lubuk persembunyiannya. Suasana tenang seketika dan tumpuan mata serta fikiran kami hanyalah pada pelampung masing-masing sambil memerhatikan kawasan sekeliling dengan harapan agar ada sekumpulan Pacu bermain di permukaan air. Lima belas minit masa berlalu namun yang kelihatan ketika ini hanyalah Sang Rohu dan Jelawat sedang sibuk menghentam kepingan roti dan palet dipermukaan air namun tidak sedikitpun ianya hirau untuk menjamah umpan terapung yang tersangkut pada mata kail kami. Sungguhpun begitu ini adalah petanda baik kerana pada kebiasaanya Sang Pacu akan keluar dari sarang persembunyian untuk menyiasat kekecohan yang telah dilakukan.
Jom Kita minum dulu
Apa yang dijangkakan berlaku depan mata. Fokus kami pada kali ini terus tertumpu pada sekumpulan pacu yang sedang sibuk menyambar umpan rasuah yang berada di permukaan air. Satu demi satu umpan disambar dengan ganas. Pada waktu ini kami sudah bersedia dengan joran masing-masing. Kekuatan drag diselaraskan dengan kesesuaian dan keselesaan sendiri serta genggaman tangan pada rod diperkemaskan sambil menunggu giliran umpan disambar. Secara tiba-tiba Rod North Folk milik Jepp direntap dengan ganas dan dalam beberapa saat kemudian Rod MHX Mag Tapper milik aku juga mengalami nasib yang sama. Jika dalam ayat bahasa Inggeris mereka kata "Double Strike" dan itulah yang terjadi pada kami waktu itu. Situasi ini telah membuatkan kami menjadi sedikit kelam kabut berusaha mengawal set pancing masing-masing dari dalam bot agar tali utama tidak bersilang dan boleh mengakibatkan pertarungan berpihak pada lawan.
Strike yang pertama dari Jepp Watanabe
Strike yang pertama. Pacu Juvana
Tiga minit masa pertarungan telah berlalu. Kelihatan kedudukan bot kadang kala berubah arah tatkala kami berdua sedang sibuk menahan rod dari asakan ganas Pacu yang sudah mulai kepenatan. Melihat dari kelebihan serta peluang yang ada Jepp terus mengepam serta mengarau kekili secepat yang mungkin agar Pacu yang sedang kepenatan datang ke arah bot supaya senang untuk didaratkan. Namun begitu usaha yang dilakukan adalah sia-sia belaka kerana Sang Pacu masih lagi berdegil dan enggan untuk menyerah dengan melakukan larian-larian terdesak menggunakan baki tenaga yang masih ada lebih-lebih lagi apabila ianya menghampiri permukaan air. Aku dapat melihat sekali lagi rod milik Jepp melentur ke tahap yang paling maksimum di saat akhir Sang Pacu melakukan larian yang akhirnya tewas dan terpaksa akur ditangan Jepp
Pacu bersaiz seperti ini sememanya mampu memberi tentangan hebat buat pemancing
Kami meneruskan aktiviti setelah berehat sebentar dari melepaskan Pacu yang telah didaratkan oleh Jepp sebentar tadi. Strike demi strike berjaya di perolehi dari sekitar jam 11.30 pagi sehingga 3.30 petang dan mengikut kiraan Aku lebih kurang tiga belas strike kesemuanya dalam tempoh tersebut walaupun tiga daripadanya tidak berjaya didaratkan kerana tali perambut putus atau rabut semasa pertarungan. Kegembiraan kerana kejayaan pada misi hari ini tidak dapat kami luahkan dengan kata-kata lebih-lebih lagi buat Jepp yang telah mendahului carta apabila berjaya mendaratkan tangkapan terberat iaitu Pacu 5.8kg dan secara tidak langsung berjaya menewaskan aku yang hanya memperolehi tangkapan sekadar 4.2kg.
Hrrmmm jadi lerr...
Sesungguhnya pengalaman memancing Pacu di Empangan Air Kuning amat memberi kepuasan lebih-lebih lagi buat kami yang sememangnya mengemari pertarungan dengan spesis-spesis air tawar bersifat liar yang mendiami di habitat semulajadi. Semoga catatan pengalaman ini sedikit sebanyak dapat memberi informasi berguna buat pemancing-pemancing yang inginkan kelainan memancing di kolam berbayar spesis air tawar serta merialisasikan impian dan cabaran bertarung dengan spesis Pacu atau Toman bersaiz mega khususnya buat pengemar sukan memancing air tawar di Malaysia.
Pada kali ini Malaya Tackle Shop ingin mempamerkan informasi mengenai sebuah kekili pancing lama era 80an yang mempunyai keupayaan dan ciri-ciri ketahanan terbaik hasil dari teknologi pembuatan sebuah syarikat pembuat kekili pancing tersohor dari negara Jepun.
Terlebih dahulu kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada En. Muhammad Arif Rhaman yang berasal dari Air Itam, Bangi, Selangor Darul Ehsan kerana telah sudi berkongsi dengan kami informasi mengenai koleksi kekili retro kesayangan beliau yang sudah jarang ditemui serta dimiliki oleh pemancing pada masa ini. Segala informasi yang telah dipaparkan mengenai kekili ini adalah berdasarkan dari hasil maklumat yang telah kami kumpul dan juga dari kotak jualan serta manual yang terdapat pada koleksi.
Tanda negara model ini dikilangkan yang terdapat
pada kaki kekili GX-20
Kekili siri GX telah dikilangkan oleh Ryobi Limited, Japan pada sekitar akhir tahun 70an sehingga tahun 80an di Korea dan Jepun untuk pasaran domestik serta antarabangsa ketika itu. Bukti mengenai negara pengilangnya boleh dilihat pada tanda yang terdapat di kaki setiap kekili yang telah dikeluarkan. Sebab mengapa model ini telah dikilangkan oleh dua negara yang berbeza tidak dapat kami ketahui kerana ketiadaan sumber atau catatan yang sahih mengenainya sebelum ini. Ada sesetengah pengumpul dan pengemar kekili lama berpendapat bahawa tujuan Ryobi Limited, Japan mengilangkan produk peralatan memancingnya di Korea adalah untuk memenuhi permintaan pasaran antarabangsa disamping kos operasi yang murah manakala kilang di Jepun hanya mengeluarkan produk untuk pasaran domestik.
Reka bentuk yang menarik hasil dari
teknologi era 80an
Bail automatik dari besi tahan karat direka khas untuk ketahanan.
Kotak Gear diperbuat dari besi alloy yang berkualiti serta kuat.
Gelendung tahan karat dengan warna keemasan yang menarik.
Dilengkapi dengan sistem drag yang kuat dan lembut .
Sistem pertukaran gelendung yang cepat.
Pengayuh kekili dilengkapi dengan sistem satu sentuhan untuk dilipatkan agar mudah untuk disimpan. Ianya juga yang boleh ditukar laras sama ada kiri atau kanan.
Keratan iklan kekili pancing dari jenama Ryobi pada era 80an yang
mempamerkan model dari siri GX
Kekili Ryobi GX series merupakan model dari era retro 80an yang telah dikeluarkan oleh pengilang dan juga dilengkapi dengan reka bentuk dan teknologi terbaik yang pernah dihasilkan oleh jenama Ryobi ketika itu.
Terdapat 5 model GX iaitu :-
GX60 - Aksi Sederhana Berat Air Masin
GX50 - Aksi Surf Air Masin
GX40 - Aksi Berat Air tawar & Sederhana Berat Air Masin
GX20 & GX20N - Aksi Ringan ke Sederhana Berat Air Tawar
GX10 - Aksi Ringan
Model GX20 dikeluarkan untuk pasaran di Amerika Syarikat dan GX20N untuk pasaran di Australia. Jarvis Walker adalah penjual serta pengedar model ini di Australia manakala Ryobi America Corporation adalah pengedar model ini di Amerika Syarikat.
Model-model GX10,GX20,GX20N dan GX60 dilengkapi dengan "Stroke Reduction Oscillation" untuk lebih kelembutan apabila pusingan handle dilakukan.
Punat sentuh berwarna merah khusus untuk memudahkan
proses menukar gelendung
"Anti-Reverse"
Koleksi bersama kotak jualan asal
Sebagai tambahan, kekuatan drag dan keupayaan yang ada pada model ini telah terbukti melalui pengalaman memancing yang di alami sendiri oleh pemilik koleksi bertempat di Kolam Rekriasi Memancing Air Tawar Batu Menangis, Selangor dan ianya boleh dilihat daripada hasil spesis Rohu dan Patin yang telah berjaya didaratkan oleh beliau. Apa yang boleh dikatakan hanyalah kepuasan hati yang hanya terungkap dengan kata-kata apabila dapat merasai sendiri kehebatan kekili berkualiti dari era 80an ini.
Patin yang berjaya didaratkan
Rohu yang berjaya didaratkan
Hasil yang berjaya didaratkan oleh
pemilik koleksi
Semoga informasi yang telah dicatatkan pada halaman blog ini mendapat manafaat untuk semua.
Majulah Sukan Memancing Malaysia dan sekian terima kasih.
Daiwa Sportline 1000 merupakan sebuah kekili pancing yang telah dikilangkan oleh Daiwa Seiko Inc pada sekitar tahun 70an. Kekili yang berasal dari negara matahari terbit ini merupakan kekili air masin aksi sederhana berat yang agak popular digunakan oleh kaki pancing di Jepun pada ketika itu. Daiwa Sportline 1000 agak berat dan tahan lasak kerana ianya diperbuat daripada bahan logam bermutu tinggi serta tahan karat. Ketahanan atau kelasakan kekili ini boleh dilihat daripada koleksi gambar yang terdapat didalam blog. Sebagai makluman kekili yang dipamerkan telah dibeli oleh Malaya Tackle Shop melalui seorang kenalan yang juga pengumpul kekili lama di Jepun sekitar tahun 2012. Kami amat berpuas hati setibanya ia ditangan kerana kondisi keseluruhan kekili ini masih berada didalam keadaan baik kecuali terdapat calar dan kelupasan cat pada bahagian luaran kesan daripada penggunaan serta usianya yang lebih dari 30 tahun.
Gelendung Aluminium yang telah ditempa bersama bahan
tahan karat
Fotografi : Redza Ali
Ciri-ciri khusus yang menjadi kelebihan utama Daiwa Sportline 1000 ialah ianya telah dilengkapi dengan sistem drag yang kuat serta lembut membolehkan penggunanya berasa lebih selesa dan berkeyakinan apabila bertarung dengan spesis buruan. Ianya juga mempunyai sistem pusingan gelendung yang lembut dan stabil disebabkan oleh teknologi Gyro yang telah diguna pakai dalam proses pembuatan kekili ini.
Nilai semasa sebuah Kekili Daiwa Sportline 1000 adalah pada sekitar RM200 sehingga ke RM600 bergantung pada kondisi kekili tersebut samada ianya masih baru ataupun terpakai. Ini adalah kerana model keluaran dari jenama Daiwa ini sudah jarang ditemui berpunca dari faktor tahun pembuatan atau pengeluarannya yang sudah agak lama. Kebanyakan kekili ini hanya disimpan sebagai koleksi peribadi dan dianggap sebagai salah satu aset bernilai buat penggemarnya.
RINGKASAN SPESIFIKASI DAIWA SPORTLINE 1000
Fotografi : Redza Ali
Ratio 4.9:1
Size 4000
Komponen diperbuat dari alluminium dan alloy tahan karat.
Gelendung tali berkualiti tinggi ditempa khas agar tahan karat.
Pemutar kekili boleh ubah kiri dan kanan.
Tali mono no.3(350m),no.4(250m),no.5(1890m), no.6(150m) dan no.7(130m).
Sistem drag hadapan dengan cakera berlapis khusus untuk kekuatan tambahan.
Komponen Daiwa Sportline 1000
yang sudah dileraikan
Fotografi : Redza Ali
Segala informasi yang dicatatkan dalam blog ini merujuk pada sumber bahan koleksi yang telah menjadi simpanan Malaya Tackle Shop dan diharap ianya dapat memberikan sedikit informasi serta manafaat buat pengemar dan pengumpul kekili pancing lama yang berada di Malaysia khususnya. Sokongan anda pada laman blog ini amatlah kami hargai demi kelangsungan saluran informasi untuk generasi pemancing akan datang
Sekian terima kasih dan majulah sukan memancing Malaysia.
Daiwa Sportline 1000
Fotografi : Redza Ali
Redza Ali Tiny Fish Blogger 0172789574/gerapoh@gmail.com
#Retro Fishing Reel Malaysia
#Daiwa Japan
#Saya suka kekili pancing lama
#Daiwa Sportline 1000
Diamond Mi-Con Ultra No.5 Whisker Titan (Fotografi oleh Redza Ali)
Ianya merupakan salah satu kekili lagenda dari era 80an berkualiti tinggi dan telah dikeluarkan oleh pengilang kekili yang terdapat di Jepun pada ketika itu dengan tujuan untuk pasaran domestik dan antarabangsa. Teknologi rekabentuk dan kejuruteraan mekanikal yang terdapat padanya boleh dikatakan agak canggih jika dilihat pada tahun ianya diperbuat dan boleh dikatakan ada teknologinya yang masih lagi diguna pakai pada pembuatan kekili-kekili moden sehingga ke hari ini.
Spesifikasi :-
Badan dari bahan karbon graphite yang tahan lasak
Ratio 4.1:1
Saiz 6000
Sistem Drag belakang menggunakan gegelung koil serta kombinasi bersama cakera berlapis untuk kekuatan serta kelembutan.
Geledung tali automatik boleh laras dengan alas bebola pada gelung tali tahan karat
Tali mono no.6-310m, no.8-240m, no.10-190m
Bunyi klik boleh laras ke mod senyap
Komponen dalaman diperbuat daripada bahan Zink, Alloy dan Tembaga yang tahan karat
Diamond Mi-Con Ultra No.5 Whisker Titan
(Fotografi oleh Redza Ali)
Kini jenama Diamond Mi-Con sudah tidak lagi wujud dipasaran kerana pengeluar atau pengilangnya sudah lama memberhentikan serta menutup operasi Syarikat diatas sebab-sebab yang tidak pasti. Apa yang diketahui daripada sumber-sumber yang tidak sahih, syarikat tersebut telah diambil alih oleh sebuah syarikat lain dari Jepun berserta dengan teknologi pembuatannya sekali dan seterusnya Syarikat baru tersebut bersama-sama dengan rakan kongsinya yang baru iaitu sebuah lagi Syarikat pengeluar kekili pancing yang tersohor di Amerika Syarikat telah mewujudkan penjenamaan semula produk Kekili pancing Diamond Mi-Con. Maka lahirlah jenama baru dengan membawa nama Shakespear Sigma kedalam pasaran untuk menggantikan Diamond Mi-Con dengan rekabentuk dan teknologi menyerupai model dari jenama asal.
Kekili Shakespear Sigma Whisker Titan
Rekabentuk dan teknologi yang sama dengan Kekili berjenama
Diamond Mi-Con
(Ihsan : Mr.Strauss Hammet, Amerika Syarikat)
Pada hari ini kebanyakan kekili pancing dari jenama Diamond Mic-Con telah dikategorikan sebagai sudah amat jarang ditemui dan biasanya ia menjadi sebahagian dari koleksi simpanan oleh pengemar-pengemar kekili lama kerana kualiti, keunikan serta pengeluaranya yang agak terhad pada tahun-tahun pembuatannya . Walaubagaimanapun kekili ini masih lagi boleh diperolehi oleh pengemar kekili lama yang berminat kerana ada diantara pengumpul-pengumpul kekili lama ingin menjual koleksi milik mereka dengan nilai-nilai yang tertentu bergantung pada kondisi luaran dan mekanikal kekili. Secara purata boleh dikatakan nilai harga sebuah Kekili Diamond Mi-Con Whisker Titan Ultra No.5 di Malaysia ialah sekitar linkungan RM250 ke RM1,000 bergantung pada kondisi kekili tersebut sama ada baru ataupun yang terpakai.
Semoga informasi ringkas yang telah dicatatkan pada halaman blog ini mendapat manafaat untuk semua demi kelangsungan informasi untuk generasi pemancing masa hadapan.
Majulah Sukan Memancing Malaysia dan sekian terima kasih.
Segalanya mengenai informasi kekili pancing dari era retro sehingga kini dan juga catatan mengenai aktiviti sukan memancing di Malaysia. Ribuan terima kasih kepada semua yang sudi melayari laman blog ini. Kami akan berusaha untuk memberikan informasi yang terbaik dari masa ke semasa agar hasil catatan yang dipaparkan dapat memberi manafaat buat pengemar sukan memancing di Malaysia.
Sokongan anda terhadap laman blog ini amatlah kami hargai demi untuk kelangsungan saluran informasi buat generasi pemancing akan datang.
Terima Kasih
#majulahsukanmemancingmalaysia #sukanmemancingmalaysia #malayatackleshop #loveretroreel #oldskoolreel Redza Ali 0172789574 gerapoh@yahoo.com.my #Tiny Fish Blogger Jualan On-line di Malaya Tackle Shop