Jumaat, 20 November 2015

Asakan Peacok Bass di Clear Water Sanctuary, Batu Gajah, Perak


Pagi yang indah di Clearwater Sanctuary Golf Resort
Clearwater Sanctuary Golf Resort yang terletak di Lot 6019, Jalan Changkat Larang, Batu Gajah, Perak ialah sebuah tempat peranginan menarik untuk dikunjungi bersama keluarga dan rakan taulan. Permandangan indah dikelilingi oleh suasana hijau dan kawasan tasik seluas 350 ekar yang mendamaikan sudah pastinya memberi ketenangan  buat mereka yang ingin beristirehat dan melapangkan minda yang selama ini sibuk memikirkan perihal kerja.

Add caption
Salah satu aktiviti yang menarik di tawarkan oleh Pihak Resort ialah aktiviti memancing. Kawasan tasik yang luas dengan kepelbagaian tumbuhan akuatik tumbuh subur di sini telah membuatkan ianya sesuai menjadi habitat kepada pelbagai spesis ikan air tawar samaada ianya adalah ikan asal ataupun spesis ikan yang telah dimasukkan oleh Pihak Resort dengan tujuan untuk memberikan kelainan buat pemancing. Spesis air tawar yang mendiami habitat di sini terdiri daripada Temoleh, Rohu, Patin, Tilapia, Toman Harimau, Haruan, Kaloi, Peacock Bass, Kap, Udang Galah dan sebagainya.

Pada hujung minggu yang lalu Team MTS telah berkunjung ke Clearwater Sanctuary Golf Resort dengan tujuan utama untuk memburu spesis ikan air tawar yang sudah tidak asing lagi pada pengemar sukan memancing air tawar di Malaysia  kerana kelasakan apabila bertarung. 

Salah satu tempat persembunyian PB
Peacock Bass atau nama saintifiknya Cichla Ocellaris adalah spesis ikan air tawar yang bukan berasal dari Malaysia. Apa yang di ketahui melalui sumber-sumber yang ada bahawa spesis air tawar ini berasal dari keluarga Cichlidae yang terdapat di Florida, Amerika Syarikat serta Lembangan Amazon dan Onnoco di Amerika Selatan. Pengemar sukan memancing air tawar di Amerika Syarikat telah meletakkan spesis ini di dalam kategori "Game Fish" kerana sifat ganas yang ada padanya serta mampu untuk merosakkan perambut, tali utama, mata kail, kekili dan rod apabila pertembungan berlaku di antara pemancing dengan ikan yang bersaiz besar. Kehebatan spesis ini didalam pertarungan telah diceritakan oleh ramai pemancing dari sana membuatkan banyak pengusaha-pengusaha eko perlancongan manganjurkan trip memancing ke Florida, Amerika Syarikat atau Lembangan Amazon untuk memburu spesis air tawar yang unik dan semakin popular di kalangan pengemar sukan memancing air tawar.

Peacock Bass
Justeru itu populariti spesis ini sebagai spesis buruan telah mula menular ke negara-negara Asia Tenggara khususnya Malaysia dan ianya telah di bawa masuk oleh individu atau pengusaha ikan hiasan dan seterusnya dilepaskan kolam-kolam buatan atau habitat semulajadi yang terdapat di sini.


Salah seekor Peacock Bass yang berjaya
didaratkan


Peacock Bass juga di kenali global dengan nama Butterfly Peacock Bass, Eyespot Cichlid, Lukani, Pavon dan Tucunare manakala panggilan Ikan Raja adalah nama yang diberi oleh pemancing di Malaysia. Rupa bentuk spesis air tawar ini boleh dilihat dari gambar-gambar yang dipaparkan pada laman blog ini. Secara khususnya Peacock Bass adalah jenis pemangsa dan didapati amat sesuai mendiami kawasan tasik dan lombong yang terdapat  di Malaysia. Ianya boleh membesar sehingga ke saiz 100cm panjang dan menjadikan anak-anak ikan, udang, berudu dan anaknya sendiri sebagai makanan utama. Memburu spesis ini sudah pasti memerlukan teknik yang tertentu.  Teknik pancing layang dan juga mengilat adalah teknik-teknik yang biasa di gunakan oleh kebanyakan pengemar sukan memancing air tawar bagi memburu Peacock Bass.

Arip berjaya mendaratkan PB bersaiz 45 cm
Kami telah memulakan perjalanan dari Rawang, Selangor melalui Lebuh Raya PLUS seawal jam 4.30 pagi dengan tujuan untuk sampai ke lokasi pada sekitar jam 7.30 pagi. Perjalanan lancar pada waktu itu dan kami hanya berhenti sebentar di kawasan rehat dan rawat sekitar jam 6.00 pagi untuk bersarapan dan menyelesaikan urusan masing-masing lalu meneruskan kembali perjalanan sehingga ke susur keluar Simpang Pulai, Perak seterusnya menuju ke arah Batu Gajah. Kami  selamat sampai ke destinasi pada sekitar jam 7.15 pagi dan kereta di letakkan bersebelahan dengan Anglers Club House untuk memudahkan urusan memunggah peralatan yang telah di bawa bersama. Jepp di tugaskan untuk menguruskan bayaran sewa memancing dan juga bot di kaunter tetamu manakala Aku dan Arip menguruskan peralatan dan memasang enjin bot berkuasa 1.5 kuda yang telah di bawa  pada bot yang tersedia di situ. Sememangnya pihak resort ada menyediakan perkhidmatan sewaan bot dan kanu untuk kegunaan pemancing-pemancing yang ingin memancing di kawasan tasik. Pada hari ini Kami telah menyewa bot dari model Bujuk 15 buatan Etamax yang telah terbukti akan kualiti dan kestabilan yang ada padanya.

Jepp dengan Juvana pertama yang
berjaya di daratkan
Aktiviti pemburuan di mulakan pada jam 8.30 pagi setelah semua urusan dapat di selesaikan. Lubuk tumpuan pertama yang di kunjungi ialah sekitar hadapan kawasan jeti dengan harapan munculnya spesis yang di buru bermain pada permukaan air. Jepp memulakan lontaran ke arah lubuk dengan menggunakan clouser minnow yang biasa di gunakan dalam teknik pancing layang dan begitu juga Arip manakala saya menggunakan popper dengan tujuan untuk menarik perhatian spesis ini keluar dari lubuk persembunyian. Kami mendapati cara ini berkesan kerana dalam beberapa minit Jepp berjaya memperolehi strike yang pertama bersaiz juvana dan tidak lama selepas itu Saya dan Arip juga memperoleh strike dari saiz yang sama. Pemburuan kami di teruskan sehingga ke waktu petang  dengan tujuan utama untuk mendaratkan Peacock Bass bersaiz 55 cm panjang. Apa yang telah diketahui rekod PB terbesar yang pernah didaratkan oleh pemancing di sini bersaiz 2 kg.  Namun begitu misi kami pada kali ini kurang berjaya kerana hanya Arip yang berjaya mendaratkan Peacock Bass bersaiz 45 cm pada sebelah tengahari. Kebanyakan Peacock Bass yang berjaya didaratkan pada hari ini bersaiz sekitar 15cm ke 35 cm dan dari pemerhatian yang dilakukan kami mendapati kebanyakan Peacock Bass bersaiz 30 cm ke atas lebih gemar menyambar umpan menjelang waktu tengahari sehingga ke sekitar jam 4 petang dan keadaan cuaca pada ketika itu panas serta pancaran matahari sudah mula terik.

Hati  rasa puas dengan pertarungan bersama
PB yang bersaiz sebegini

Kami telah menamatkan aktiviti memancing di Clearwater Sanctuary Golf Resort pada sekitar jam 4.30 petang setelah puas melayan subjek buruan. Perjalanan pulang pada kali ini di hiburkan dengan ulasan-ulasan perbualan kami bertiga mengenai pengalaman masing-masing semasa bertarung dengan salah satu spesis yang popular di dalam sukan memancing air tawar.
Sesungguhnya usaha pihak Clearwater Sanctuary Golf Resort dalam memberi kelainan kepada pengemar sukan memancing   di Malaysia amatlah di hargai. Justeru itu di harap ianya akan menjadi ikutan buat pengusaha-pengusaha kolam yang ada demi untuk memertabatkan lagi sukan memancing di Malaysia dan secara tidak langsung dapat memajukan lagi sektor eko perlancongan pada masa hadapan.



Set yang telah di gunakan oleh Jepp

INFORMASI TAMBAHAN

Informasi Bot dan Kanu yang boleh di sewa melalui pemerhatian yang telah dilakukan :-
  • Sebuah bot Aluminium (Etamax Bujuk 15) sesuai untuk 3 orang pemancing dan berada di dalam keadaan baik. Kadar sewaan RM50.00 dari pagi sehingga ke petang.
  • Dua buah Kanu (1 Kanu = 2 Pemancing). Kadar sewaan RM50.00 dari pagi sehingga ke petang.
Kadar bayaran untuk memancing yang di tawarkan oleh pihak Resort adalah sebanyak RM30.00 untuk satu joran. 

Para pemancing boleh membuat pembayaran untuk memancing dan sewa bot di kaunter tetamu yang berdekatan dengan Anglers Club House. 

Para pemancing boleh menggunakan kemudahan seperti tandas, bilik mandi dan ruangan istirehat yang telah sedia ada diAnglers Club House.

Clearwater Sanctuary Golf Resort
Alamat : Lot 6019, Jalan Changkat Larang, Batu Gajah, 31000, Batu Gajah, Perak, 31000, Malaysia
Tel:+60 3-7956 1453
http://www.cwsgolf.com.my/contact.html

Pautan Luar informasi mengenai spesis :-
http://nas.er.usgs.gov/queries/factsheet.aspx?SpeciesID=437

GALERI MTS

Masta Arippo



Kawasan Toman bermain






Bujuk 15 yang telah digunakan

Permandangan tasik dari Anglers Club House




Sekian terima kasih dan Majulah sukan memancing Malaysia.



Redza Ali
#tinyfishblogger
gerapoh@yahoo.com.my
0172789574

#peacockbass
#butterflypeacockbass
#freshwatergamefish
#clearwatersanctuarygolfresort
#malayatackleshop





Rabu, 4 November 2015

Redtail Gagah Di Jurassic Game Fishing Pond, Rawang, Selangor

Jurassic Game Fishing Pond sememangnya telah popular di kalangan pengemar sukan memancing air tawar yang mengidamkan pertarungan dengan spesis-spesis ikan bersaiz mega seperti Toman Harimau (Giant Snakehead), Haruan (Striped Snakehead), Alligator Gar, Arapaima Gigas serta dua spesis keli  yang menjadi subjek buruan utama buat kami. Spesis yang menjadi subjek buruan pada kali ini ialah Amazon Redtail Catfish yang berasal dari Lembangan Amazon, Amerika Selatan dan Thai Redtail Catfish berasal dari negara Thailand. Lokasi kolam yang terletak di Jalan Batu Arang/Bestari Jaya, Rawang, Selangor mudah untuk dikunjungi serta terletak di tepi jalan besar sebelum Bandar Tasik Puteri

Amazon Red Tail Catfish atau nama asalnya Pirara mempunyai bentuk badan yang pendek serta montel dan mempunyai bentuk kepala yang agak besar serta keras. Pada bahagian atas badan spesis ini berwarna kelabu kehitaman dengan kombinasi warna putih pada bahagian bawah badan manakala pada bahagian ekornya berwarna oren kemerahan dengan permukaan kulitnya yang agak kasar dan tidak licin seperti spesis keli yang biasa terdapat di sekitar negara-negara Asia Tenggara. Apa yang diketahui mengenai spesis ini ialah ianya boleh membesar dan mencapai berat sehingga 150lb serta merupakan spesis mega yang biasa dan banyak terdapat di sekitar Lembangan Amazon.

Amazon Redtail Catfish yang berjaya
didaratkan  
Kemasukan spesis RedTail Catfish di Malaysia pada peringkat awal adalah atas sebab digemari oleh pengemar ikan hiasan disini kerana keunikan dan kecantikan yang terdapat padanya. Walaubagaimanapun apabila evolusi dan populariti sukan memancing semakin mendapat tempat dikalangan pengemar sukan memancing di Malaysia maka ini telah membuatkan ada pengusaha kolam memancing berbayar seperti Jurassic Fishing Pond Rawang mengambil langkah inisiatif dengan memasukkan spesis-spesis pemangsa dari luar Malaysia yang boleh dikategorikan sebagai "gamefish" ke dalam kolam-kolam memancing mereka supaya dapat memberi kepuasan dan kelainan serta pemancing boleh merasai sendiri pertarungan hebat dengan spesis Red Tail Catfish yang sememangnya telah popular dikalangan penggemar sukan memancing air tawar di seluruh dunia.

Thai Redtail Catfish atau Asian Redtail Catfish
yang berjaya didaratkan
Spesis kedua yang menjadi buruan ialah spesis Keli yang diberi nama Thai Redtail Catfish atau Asian Redtail Catfish.  Ianya berasal dari Thailand dan boleh membesar sehingga mencapai berat 88.2lb. Bentuk badan spesis ini agak berbeza dengan Amazon Redtail Catfish kerana mempunyai bentuk badan yang memanjang dan mempunyai kulit yang licin serta ekor berwarna merah bercampur oren. Boleh di katakan bahawa rupa bentuk spesis ini lebih menyerupai spesis Baung Akar yang terdapat di Malaysia.




Rakan MTS iaitu Saudara Ijam
bersama dengan Red Tail seberat 27kg
Bertarung dengan spesis Redtail memerlukan peralatan yang kuat serta tahan lasak kerana telah diperakui mengenai kekuatan dan kelasakannya apabila bertarung dengan pemancing. Kami menggunakan umpan anak lampam hidup digabungkan dengan set rod sederhana berat aksi cepat berserta dengan kekili mendatar Shimano Scorpion II DC7 yang diperakui mempunyai kekuatan drag sehingga 9lb. Umpan Lampam hidup terus di lontar ke bahagian tengah kolam dan kekuatan drag diselaraskan kepada mod sederhana. Kebanyakan Redtail yang bersaiz besar banyak mendiami di kawasan sebelah bawah restoran kerana memang sudah menjadi sifat semulajadi spesis ini gemar menjadikan tempat berlubang yang agak gelap sebagai tempat perlindungan atau lubuk persembunyian untuk menyelamatkan diri apabila merasa terancam . Secara tiba-tiba umpan diragut dengan agak ganas manakala tali utama terus keluar dari kekili di bawa menuju ke arah bawah restoran terapung. Kami tidak menyangka umpan yang baru dilabuhkan terus diragut dengan begitu cepat sekali. Saya membiarkan seketika tali keluar dari kekili  sehingga merasa yakin bahawa umpan dan mata kail telah betul-betul  berada di dalam mulut ikan sebelum melakukan henjutan "strike". Ini kerana spesis Redtail yang mendiami kolam ini agak bijak dan akan melepaskan kembali umpan sekiranya terasa umpan tersebut merupakan suatu ancaman buatnya.

Bersama penyokong-penyokong cilik 
Merakamkan kenangan bersama
Amazon Redtail Catfish yang telah memberikan
tentangan hebat di dalam pertarungan
"Strike" atau pertarungan pertama dihadapi oleh saya dengan penuh berhati-hati serta sedikit cemas kerana menyedari tali utama jenis mono berkekuatan 20lb yang telah di guna pakai pada kekili ketika ini. Seperti yang telah dijangka Redtail terus menggasak dengan larian yang padu mengheret umpan ke arah bawah restoran terapung untuk menyelamatkan diri walaupun kekuatan drag telah dilaras ke tahap yang paling maksimum. Setelah hampir empat minit pertarungan berlaku dan akhirnya saya berjaya mendaratkan spesis Amazon RedTail Catfish seberat 6.8kg membuatkan hati merasa amat puas setelah pertama kalinya dapat mendaratkan spesis ini. Lontaran kedua umpan telah dilakukan oleh Jepp dan nasib yang sama berlaku keatas beliau apabila umpan terus diragut tidak berapa lama selepas ianya di labuhkan. Jepp terus melayan pertarungan tersebut dan berjaya mendaratkan spesis yang sama iaitu seberat 8kg.



Masa tiga jam yang ditawarkan oleh pemilik kolam berserta pertarungan demi pertarungan yang berlaku pada malam itu telah memberikan kepuasan memancing buat kami berdua. Sebanyak 4 ekor spesis Amazon Redtail Catfish dan 3 ekor spesis Thai Redtail Catfish bersaiz 5 ke 9 kg telah berjaya kami daratkan daripada 12 "strike" yang telah di perolehi dalam masa tiga jam tersebut.

Thai Redtail terakhir yang berjaya didaratkan pada
jam 10.30 malam 

Sesungguhnya usaha dan inisiatif pemilik Jurasic Game Fishing Pond di dalam memberikan keunikan dan kelainan kepada pengemar sukan memancing tempatan  amatlah dihargai  dan ianya di harap dapat memberi impak yang positif di dalam industri perlancongan sukan memancing di Malaysia suatu hari nanti. Sebelum menamatkan penulisan ini buat sementara waktu, saya meletakkan harapan yang tinggi agar individu-individu yang telah membawa masuk spesis-spesis ikan yang berasal dari luar Malaysia sama ada untuk tujuan komersil ataupun sebagai haiwan perliharaan supaya tidak mengambil langkah mudah dengan melepaskan spesis-spesis ikan ini ke habitat-habitat semulajadi yang terdapat di sini kerana di khuatiri ianya akan merosakkan ekosistem serta menyebabkan kepupusan spesis-spesis tempatan dan akhirnya akan menjadi satu kerugian buat generasi akan datang.

INFORMASI TAMBAHAN

Link untuk ke lokasi Jurassic Game Fishing Pond dengan menggunakan applikasi WAZE.

Konsep tangkap dan lepas. 24 Jam
Bayaran Masuk : RM100  untuk 3 jam berserta bayaran deposit sebanyak RM50 - 1 joran
Anak Lampam sebagai umpan hidup ada dijual dengan harga RM1 seekor
Teknik memancing menggunakan gewang dan soft plastik adalah dibenarkan walaubagaimanapun penggunaan mata tiga pada alatan tersebut adalah di larang sama sekali.

Akhir kata ... "Majulah Sukan Memancing Malaysia"



Redza Ali
#tinyfishblogger
#malayatackleshop
0172789574
gerapoh@yahoo.com.my


#jurassicgamefishingpond
#amazonredtailcatfish
#pirara
#thairedtailcatfish
#asianredtailgamefish
#malaysiasportfishing

Rabu, 16 September 2015

Pacu Ganas di Empangan Air Kuning



Suasana tenang dan damai di Empangan Air Kuning



Set Rod kustom hasil tangan seorang kenalan rapat
sedang membangau seketika
Buat pertama kalinya disini, Team MTS ingin berkongsi pengalaman dan informasi mengenai salah satu tempat rekreasi sukan memancing berbayar yang terdapat di Lembah Klang.

Lokasi pilihan pada kali ini bertempat di Kawasan Rekreasi Memancing Empangan Air Kuning, Taman Pertanian Malaysia, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Empangan Air Kuning menawarkan konsep tangkap dan lepas serta agak popular buat pengemar teknik mengilat, pancing layang serta dasar yang datangnya dari sekitar Lembah Klang. Pemancing boleh merasai sendiri pertarungan dengan spesis seperti Pacu, Amazon Red Tail Catfish, Sebarau, Jelawat, Rohu serta Toman mega yang mendiami lubuk-lubuk di sekitarnya. Cadangan atau idea untuk menguji peralatan serta bertarung dengan spesis Pacu ataupun nama lainnya Tambaqui  telah datang dari Saudara Jepp Watanabe (bukan nama sebenar). Beliau merupakan salah seorang kenalan rapat yang telah lama bergiat aktif dilapangan sukan memancing air tawar serta berpengalaman tentang lubuk serta teknik untuk memancing Pacu yang mendiami Empangan Air Kuning. 

Apa yang menarik mengenai Pacu yang terdapat di sini ialah kekuatan dan larian luar biasanya apabila bertarung. Ini berdasarkan daripada sumber yang telah diperolehi melalui cerita rakan-rakan pemancing  dan juga melalui pengalaman kami yang sudah biasa memancing di sini. Selain itu faktor persekitaran hutan semulajadi yang meliputi kawasan mini empangan  dengan air bukit yang jernih serta bersih mengalir masuk ke dalamnya membuatkan ikan-ikan yang menjadi penghuni disini berada dalam keadaan yang amat sihat dan cergas. Kawasan lubuknya pula agak dalam dan mencabar pada sesetengah tempat serta terdapat tunggul kayu pada dasarnya. Kawasan reba tersebut sering menjadi  tempat persembunyian serta tumpuan Pacu dan spesis lain membuat pecutan ke arahnya bagi meloloskan diri apabila terkena mata kail pemancing. Kejadian seperti tali perambut rabut, putus, tali utama meletup serta mata kail terkangkang adalah lumrah biasa buat pemancing apabila bertarung dengan Pacu di Empangan Air Kuning.

Aktiviti kami telah dimulakan pada hari sabtu iaitu seawal pukul 6.30 pagi. Selepas selesai bersarapan dan membeli sedikit  bekalan untuk mengalas perut, kami terus memulakan perjalanan dari Ampang ke Shah Alam dan sampai betul-betul di hadapan pintu masuk Taman Pertanian lebih kurang pada pukul 7.15 pagi. Kami terpaksa memberhentikan kenderaan di hadapan pintu tersebut kerana pendaftaran kebenaran masuk kenderaan ke kawasan Taman harus dipohon terlebih dahulu  daripada Pegawai Jabatan Perhilitan yang bertugas. Setelah permit masuk kenderaan diluluskan kami terus bergerak membawa masuk kenderaan ke dalam kawasan rekreasi dan seterusnya menuju ke Empangan Air Kuning. Perjalanan ke kawasan empangan dari pintu masuk taman dikelilingi oleh persekitaran landskap semulajadi yang amat mendamaikan. Suasana pagi terasa dingin serta sedikit berkabus membuatkan kami boleh merasai kesegaran udara pagi. Pada ketika ini kelihatan segelintir warga kota sedang melakukan aktiviti riadah sama ada berjogging, berbasikal mahupun berjalan kaki menggunakan kemudahan jalan-jalan susur yang telah tersedia.

Perjalanan  untuk ke Empangan Air Kuning dari pintu masuk mengambil masa lebih kurang tiga minit dan kali ini kami sampai tepat pada masanya kerana  bot jenama Pelican berwarna hijau masih lagi belum disewa oleh pemancing. Kelihatan En.Harun (bukan nama sebenar) yang bertugas sebagai penjaga kaunter tersenyum menyapa kami dengan mesra sambil menghulurkan tangan bersalaman. Setelah semua urusan selesai dan bayaran sewa telah dilunaskan. En.Harun mula bergegas  menuju ke gigi air untuk mempersiapkan bot Pelican hijau yang akan digunakan oleh kami sebentar nanti. Kami menjejakkan kaki ke dalam bot tepat pada pukul 8.30 pagi. Pada waktu itu suasana di Empangan amat tenang dan mendamaikan buat kami yang telah biasa dengan suasana hutan batu metropolitan. Kicauan unggas dan burung bersahut-sahutan memecah keheningan pagi sambil sekali-sekala ketenangan empangan diganggu oleh kibasan ekor Jelawat dan Rohu bermain dipermukaan air.

Piala kemenangan iaitu Tambaqui seberat 5.8kg
Bertarung dengan spesis Pacu di Empangan Air Kuning memerlukan teknik yang tertentu serta pengalaman yang harus dipelajari bersama dengan pemancing-pemancing yang sudah biasa mengenai lubuk serta sifat-sifat semulajadi spesis yang hendak diburu. Kemahiran untuk mengawal dan mengekang larian ikan yang menuju ke kawasan reba serta penguasaan kawalan drag yang bagus membolehkan peratusan untuk mendaratkannya adalah tinggi lebih-lebih lagi apabila memancing dengan menggunakan kanu, kayak atau bot. Bagi kami pengunaan teknik umpan terapung merupakan teknik yang amat sesuai digunakan jika ingin memburu Pacu di Empangan Air Kuning. Tali perambut fluorocarbon dengan kekuatan 30lb menjadi pilihan walaupun peratusan untuk putus digigit adalah tinggi akan tetapi kebiasaannya ia menjamin peratusan "strike" yang lebih dari Pacu yang bersaiz kasar. Jenis umpan pula haruslah terapung diatas permukaan air kerana biasanya Pacu di sini lebih gemar menyambar makanan di atas berbanding di bawah. Kami mendapati bahawa ikan-ikan yang menghuni Empangan Air Kuning agak cerdik atau dengan erti kata lain culas lebih-lebih lagi yang bersaiz 4 kilo keatas. Kebanyakan ikan yang telah lama menghuni disini dapat menyesuaikan diri serta boleh membezakan yang mana sebenarnya makanan dan yang mana umpan.  Selain itu konsep tangkap dan lepas yang telah dipraktikkan juga mempengaruhi tabiat ikan serta merupakan salah satu faktor penyebab ikan-ikan yang pernah terkena mata kail agak berhati-hati apabila ingin menyambar umpan ataupun gewang. Oleh itu sememangnya kejadian Kumpau, Bangau, Mangkau atau dengan ayat mudah "tak dapat ikan" sudah menjadi lumrah biasa buat pemancing yang baru ingin berjinak-jinak memancing di Empangan Air Kuning termasuklah kami pada suatu masa dahulu.


Penantian suatu penyeksaan
Jam menunjukkan sekitar pukul 8.45 pagi. Pancaran sinaran matahari telah mula menyimbahkan cahaya ke kawasan Empangan. Keadaan air kelihatan agak jernih sehingga menampakkan dasar pada sesetengah tempat yang cetek. Tanpa membuang masa kami mula melontar umpan ke arah lubuk yang berdekatan dengan reba. Sebelum itu  beberapa keping roti dan palet makanan ikan bersaiz kasar telah kami lontarkan terlebih dahulu ke kawasan tersebut bertujuan sebagai rasuah atau pelaris agar Sang Pacu keluar dari lubuk persembunyiannya. Suasana tenang seketika dan tumpuan mata serta fikiran kami hanyalah pada pelampung masing-masing sambil memerhatikan kawasan sekeliling dengan harapan agar ada sekumpulan Pacu bermain di permukaan air.  Lima belas minit masa berlalu namun yang kelihatan ketika ini hanyalah Sang Rohu dan Jelawat  sedang sibuk menghentam kepingan roti dan palet dipermukaan air namun tidak sedikitpun ianya hirau untuk menjamah umpan terapung yang tersangkut pada mata kail kami. Sungguhpun begitu ini adalah petanda baik kerana pada kebiasaanya Sang Pacu akan keluar dari sarang persembunyian untuk menyiasat kekecohan yang telah dilakukan. 



Jom Kita minum dulu

Apa yang dijangkakan berlaku depan mata. Fokus kami pada kali ini terus tertumpu pada sekumpulan pacu yang sedang sibuk menyambar umpan rasuah yang berada di permukaan air. Satu demi satu umpan disambar dengan ganas. Pada waktu ini kami sudah bersedia dengan joran masing-masing. Kekuatan drag diselaraskan dengan kesesuaian dan keselesaan sendiri serta genggaman tangan pada rod diperkemaskan sambil menunggu giliran umpan disambar. Secara tiba-tiba Rod North Folk milik Jepp direntap dengan ganas dan dalam beberapa saat kemudian Rod MHX Mag Tapper milik aku juga mengalami nasib yang sama. Jika dalam ayat bahasa Inggeris mereka kata "Double Strike" dan itulah yang terjadi pada kami waktu itu. Situasi ini telah membuatkan kami menjadi sedikit kelam kabut berusaha mengawal set pancing masing-masing dari dalam bot agar tali utama tidak bersilang dan boleh mengakibatkan pertarungan berpihak pada lawan.


Strike yang pertama dari Jepp Watanabe
Strike yang pertama.
Pacu Juvana   
Tiga minit masa pertarungan telah berlalu. Kelihatan kedudukan bot  kadang kala berubah arah tatkala kami berdua sedang sibuk menahan rod dari asakan ganas Pacu yang sudah mulai kepenatan. Melihat dari kelebihan serta peluang yang ada Jepp terus mengepam serta mengarau kekili secepat yang mungkin agar Pacu yang sedang kepenatan datang ke arah bot supaya senang untuk didaratkan. Namun begitu usaha yang dilakukan adalah sia-sia belaka kerana Sang Pacu masih lagi berdegil dan enggan untuk menyerah  dengan melakukan larian-larian terdesak menggunakan baki tenaga yang masih ada lebih-lebih lagi apabila ianya menghampiri permukaan air. Aku dapat melihat sekali lagi rod milik Jepp melentur ke tahap yang paling maksimum di saat akhir Sang Pacu melakukan larian yang akhirnya tewas dan terpaksa akur ditangan Jepp


Pacu bersaiz seperti ini sememanya 
mampu memberi tentangan 
hebat buat pemancing
Kami meneruskan aktiviti setelah berehat sebentar dari melepaskan Pacu yang telah didaratkan oleh Jepp sebentar tadi. Strike demi strike berjaya di perolehi dari sekitar jam 11.30 pagi sehingga 3.30 petang dan mengikut kiraan Aku lebih kurang tiga belas strike kesemuanya dalam tempoh tersebut walaupun  tiga daripadanya tidak berjaya didaratkan kerana  tali perambut putus atau rabut semasa pertarungan. Kegembiraan kerana kejayaan pada misi hari ini tidak dapat kami luahkan dengan kata-kata lebih-lebih lagi buat Jepp yang telah mendahului carta apabila berjaya mendaratkan tangkapan terberat iaitu Pacu 5.8kg dan secara tidak langsung berjaya menewaskan aku yang hanya memperolehi tangkapan sekadar 4.2kg. 


Hrrmmm jadi lerr...
Sesungguhnya pengalaman memancing Pacu di Empangan Air Kuning amat memberi kepuasan lebih-lebih lagi buat kami yang sememangnya mengemari pertarungan dengan spesis-spesis air tawar bersifat liar yang mendiami di habitat semulajadi. Semoga catatan pengalaman ini sedikit sebanyak dapat memberi informasi berguna buat pemancing-pemancing yang inginkan kelainan memancing di kolam berbayar spesis air tawar serta merialisasikan impian dan cabaran bertarung dengan spesis Pacu atau Toman bersaiz mega khususnya buat pengemar sukan memancing air tawar di Malaysia.


INFORMASI TAMBAHAN



Keratan Akhbar Berita Harian dari Segmen Joran
menceritakan keistimewaan memancing Pacu
di Empangan Air Kuning


                             VIDEO AKSI 
SELAMAT HARI MALAYSIA 16/09/2015 DAN MAJULAH SUKAN MEMANCING MALAYSIA









Redza Ali
Tiny Fish Blogger
0172789574
gerapoh@yahoo.com.my
#malayatackleshop
#pacuempanganairkuning
#pacu ganas
#sportfishing
#ceritamemancing
#freshwaterfishing
#malayaanglers

Rabu, 2 September 2015

Ryobi GX20 Kekili Hebat 80an



 Ryobi GX20 THE MAJESTIC  1981

The Majestic 1981

Pada kali ini Malaya Tackle Shop ingin mempamerkan informasi mengenai sebuah kekili pancing lama era 80an yang mempunyai keupayaan dan ciri-ciri ketahanan terbaik hasil dari teknologi pembuatan sebuah syarikat pembuat kekili pancing tersohor dari negara Jepun. 

Terlebih dahulu kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada En. Muhammad Arif Rhaman yang berasal dari Air Itam, Bangi, Selangor Darul Ehsan kerana telah sudi berkongsi dengan kami informasi mengenai koleksi kekili retro kesayangan beliau yang sudah jarang ditemui serta dimiliki oleh pemancing pada masa ini. Segala informasi yang telah dipaparkan mengenai kekili ini adalah berdasarkan dari hasil maklumat yang telah kami kumpul dan juga dari kotak jualan serta manual yang terdapat pada koleksi.

Tanda negara model ini dikilangkan yang terdapat
pada kaki kekili GX-20

Kekili siri GX  telah dikilangkan oleh Ryobi Limited, Japan pada sekitar akhir tahun 70an sehingga tahun 80an di Korea dan Jepun untuk pasaran domestik serta antarabangsa ketika itu. Bukti mengenai negara pengilangnya boleh dilihat pada tanda yang terdapat di kaki setiap kekili yang telah dikeluarkan. Sebab mengapa model  ini telah dikilangkan oleh dua negara yang berbeza tidak dapat kami ketahui kerana ketiadaan sumber atau catatan yang sahih mengenainya sebelum ini. Ada sesetengah pengumpul dan pengemar kekili lama berpendapat bahawa tujuan Ryobi Limited, Japan mengilangkan produk peralatan memancingnya di Korea adalah untuk memenuhi permintaan pasaran antarabangsa disamping kos operasi yang murah manakala kilang di Jepun hanya mengeluarkan produk untuk pasaran domestik.  


Reka bentuk yang menarik hasil dari
teknologi era 80an

Spesifikasi dan Ciri-Ciri Khas
  • Aksi ringan ke Sederhana berat Air Tawar. 
  • Ratio 3.7:1. bersama 1 alas bebola.
  • Keupayaan Gelendung (Spool) 270 kaki/ 6 paun, 190 kaki/8 paun, 160 kaki/ 10 paun . 
  • Bail automatik dari besi tahan karat  direka khas untuk ketahanan. 
  • Kotak Gear diperbuat dari besi alloy yang berkualiti serta kuat. 
  • Gelendung tahan karat dengan warna keemasan yang menarik.
  • Dilengkapi dengan sistem drag yang kuat dan lembut .
  • Sistem pertukaran gelendung yang cepat. 
  • Pengayuh kekili dilengkapi dengan sistem satu sentuhan untuk dilipatkan agar mudah untuk disimpan. Ianya juga yang boleh ditukar laras sama ada kiri atau kanan.

Keratan iklan kekili pancing dari jenama Ryobi pada era 80an yang
mempamerkan model dari siri GX


Kekili  Ryobi GX series merupakan model dari era retro 80an yang telah dikeluarkan oleh pengilang dan juga dilengkapi dengan reka bentuk dan teknologi terbaik yang pernah dihasilkan oleh jenama Ryobi ketika itu. 

Terdapat 5 model GX iaitu :-
  • GX60 - Aksi Sederhana Berat Air Masin
  • GX50 - Aksi Surf Air Masin
  • GX40 - Aksi Berat Air tawar & Sederhana Berat Air Masin
  • GX20 & GX20N - Aksi Ringan  ke Sederhana Berat Air Tawar
  • GX10 - Aksi Ringan
Model GX20 dikeluarkan untuk pasaran di Amerika Syarikat dan GX20N untuk pasaran di Australia. Jarvis Walker adalah penjual serta pengedar model ini di Australia manakala Ryobi America Corporation adalah pengedar model ini di Amerika Syarikat. 

Model-model GX10,GX20,GX20N dan GX60 dilengkapi dengan "Stroke Reduction Oscillation" untuk lebih kelembutan apabila pusingan handle dilakukan.


Punat sentuh berwarna merah khusus untuk memudahkan
proses menukar gelendung




"Anti-Reverse"


Koleksi bersama kotak jualan asal

Sebagai tambahan, kekuatan drag dan keupayaan yang ada pada model ini telah terbukti melalui pengalaman memancing yang di alami sendiri oleh pemilik koleksi bertempat di Kolam Rekriasi Memancing Air Tawar Batu Menangis, Selangor dan ianya boleh dilihat daripada hasil spesis Rohu dan Patin yang telah berjaya didaratkan oleh beliau. Apa yang boleh dikatakan hanyalah kepuasan hati yang hanya terungkap dengan kata-kata apabila dapat merasai sendiri kehebatan kekili berkualiti dari era 80an ini.


Patin yang berjaya didaratkan


Rohu yang berjaya didaratkan

Hasil yang berjaya didaratkan oleh
pemilik koleksi

Semoga informasi yang telah dicatatkan pada halaman blog ini mendapat manafaat untuk semua.

Majulah Sukan Memancing Malaysia dan sekian terima kasih.



#Informasi kekili retro
#malaya tackle shop
#retro
#retrofishingreel



Redza Ali
#Tiny fish blogger
0172789574

Jumaat, 28 Ogos 2015

Daiwa Sportline 1000


Kekili Retro Daiwa Sportline 1000 


Daiwa Sportline 1000
Fotografi : Redza Ali
Daiwa Sportline 1000 merupakan sebuah kekili pancing yang telah dikilangkan oleh Daiwa Seiko Inc pada sekitar tahun 70an. Kekili yang berasal dari negara matahari terbit ini merupakan kekili air masin aksi sederhana berat yang agak popular digunakan oleh kaki pancing di Jepun pada ketika itu. Daiwa Sportline 1000 agak berat dan tahan lasak kerana ianya diperbuat daripada bahan logam bermutu tinggi serta tahan karat.  Ketahanan atau kelasakan kekili ini boleh dilihat daripada koleksi gambar yang terdapat didalam blog. Sebagai makluman kekili yang dipamerkan telah dibeli oleh Malaya Tackle Shop melalui seorang kenalan yang juga pengumpul kekili lama di Jepun sekitar tahun 2012. Kami amat berpuas hati setibanya ia ditangan kerana kondisi keseluruhan kekili ini masih berada didalam keadaan baik kecuali terdapat calar dan kelupasan cat pada bahagian luaran kesan daripada penggunaan serta usianya yang lebih dari 30 tahun.

Gelendung Aluminium yang telah ditempa bersama bahan
tahan karat
Fotografi : Redza Ali
Ciri-ciri khusus yang menjadi kelebihan utama Daiwa Sportline 1000 ialah ianya telah dilengkapi dengan sistem drag yang kuat serta lembut membolehkan penggunanya berasa lebih selesa dan berkeyakinan apabila bertarung dengan spesis buruan. Ianya juga mempunyai sistem pusingan gelendung yang lembut dan stabil disebabkan oleh teknologi Gyro yang telah diguna pakai dalam proses pembuatan kekili ini.
Nilai semasa sebuah Kekili Daiwa Sportline 1000 adalah pada sekitar RM200 sehingga ke RM600 bergantung pada kondisi kekili tersebut samada ianya masih baru ataupun terpakai. Ini adalah kerana model keluaran dari jenama Daiwa ini sudah jarang ditemui berpunca dari faktor tahun pembuatan atau pengeluarannya yang sudah agak lama. Kebanyakan kekili ini hanya disimpan sebagai koleksi peribadi dan dianggap sebagai salah satu aset bernilai buat penggemarnya.

RINGKASAN SPESIFIKASI DAIWA SPORTLINE 1000

Fotografi : Redza Ali
  • Ratio 4.9:1
  • Size 4000
  • Komponen diperbuat dari alluminium dan alloy tahan karat.
  • Gelendung tali berkualiti tinggi ditempa khas agar tahan karat.
  • Pemutar kekili boleh ubah kiri dan kanan.
  • Tali mono no.3(350m),no.4(250m),no.5(1890m), no.6(150m) dan no.7(130m).
  • Sistem drag hadapan dengan cakera berlapis khusus untuk kekuatan tambahan.



Komponen Daiwa Sportline 1000
yang sudah dileraikan
Fotografi : Redza Ali
Segala informasi yang dicatatkan dalam blog ini merujuk pada sumber bahan koleksi yang telah menjadi simpanan Malaya Tackle Shop dan diharap ianya dapat memberikan sedikit informasi serta manafaat buat pengemar dan pengumpul kekili pancing lama yang berada di Malaysia khususnya. Sokongan anda pada laman blog ini amatlah kami hargai demi kelangsungan saluran informasi untuk generasi pemancing akan datang  

Sekian terima kasih dan majulah sukan memancing Malaysia.




Daiwa Sportline 1000
Fotografi : Redza Ali

Redza Ali
Tiny Fish Blogger
0172789574/gerapoh@gmail.com

#Retro Fishing Reel Malaysia
#Daiwa Japan
#Saya suka kekili pancing lama
#Daiwa Sportline 1000

Jualan Kekili Pancing Online di Malaya Tackle Shop Facebook Page

Fotografi : Redza Ali

Fotografi : Redza Ali

Tanda yang melambangkan kekili
ini berasal dari Jepun
Fotografi : Redza Ali